Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran optimis bahawa parti itu akan kembali diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Hi...

MIC hanya pinjamkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada UMNO


Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran optimis bahawa parti itu akan kembali diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Dalam satu laporan media, beliau menegaskan yang kerusi tersebut hanya “dipinjamkan” kepada calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini.

Beliau juga menyifatkan BN telah membuat keputusan tepat dalam mempertaruhkan calon Orang Asli untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands.

"Kita hanya pinjamkan kerusi itu kepada UMNO dan mereka menang. Ia merupakan keputusan strategik dan diharap BN menggunakan formula sama bagi PRK Semenyih nanti.

"Strategi calon yang dipertaruhkan akan membuahkan hasil,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di ibu pejabat MIC.

Dalam pada itu, beliau berkata jentera parti MIC akan turun padang bagi membantu calon BN yang akan bertanding di PRK Semenyih.

"Jentera parti diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri M. Saravanan telah melaksanakan tugas yang bagus pada PRK Cameron Highlands, jadi kami akan mengekalkan team sama bagi PRK Semenyih,” katanya.

PRK Dun Semenyih akan diadakan pada 2 Mac susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.