Ketua penyelidik Ilham Centre dan pensyarah komunikasi, Dr Mohd Yusri Ibrahim, menyifatkan bahawa tindakan bekas Perdana Menteri Najib Ra...

Najib guna "Malu Apa Bossku" untuk tutup kes Korupsi.. - Penganalisis


Ketua penyelidik Ilham Centre dan pensyarah komunikasi, Dr Mohd Yusri Ibrahim, menyifatkan bahawa tindakan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kerap tampil dalam media sosial dan tempat awam sejak kebelakangan ini, merupakan usaha beliau untuk menaikkan semula popularitinya dan mengalihkan perhatian daripada perbicaraan kes rasuah yang akan bermula pada 12 Febuari ini.

"Untuk kekal relevan dalam lanskap politik tempatan, beliau perlu mengalihkan persepsi umum daripada dilihat sebagai seorang pesalah menjadi seorang wira.

"Ia mampu membantunya jika beliau boleh membuatkan semua orang berfikir bahawa dakwaan yang dikenakan ke atasnya adalah bermotifkan politik,” kata beliau.

Walaupun berdepan tuduhan melibatkan penggubahan wang haram, rasuah dan salah guna kuasa yang mengundang hukuman penjara bagi tempoh yang lama, Najib dilihat tenang dengan mengadakan forum awam dan berkempen di pilihan raya kecil Cameron Highlands serta menjelajah Langkawi.

Malah slogan “Malu Apa Bossku?” yang digunakan oleh Najib terbukti membuatkan beliau semakin popular. Di sesetengah majlis, Najib secara bersahaja memberitahu wartawan bahawa rakyat Malaysia merindui kepimpinannya.

"Sejak pilihan raya, beliau kehilangan banyak sokongan Umno dan kalangan rakyat Malaysia,” kata Yusri.

"Namun beliau bijak mengambil kesempatan atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan semua manifesto pilihan raya untuk menyesuaikan dirinya dengan landskap politik negara,” kata pensyarah Universiti Malaysia Terengganu itu.

Penganalisis politik Profesor Bersekutu, Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak pula berkata, aktiviti Najib dalam media sosial dan kemunculan di khalayak umum baru-baru ini lebih kepada sebagai usahanya untuk kekal relevan kepada rakyat Malaysia berbanding perbicaraannya yang bakal dihadapi.

"Ia merupakan strategi politik untuk menyerang PH dan membuatkan pakatan nampak teruk ekoran perkembangan semasa disebabkan kegagalan kepimpinan kerajaan baharu terutamanya menteri yang gagal menunaikan janji dan membangkitkan isu relevan seperti kos sara hidup dan mengurangkan harga barang.” ujar beliau.

Seorang lagi penganalisis politik, Khoo Kay Peng berkata Najib tahu bagaimana untuk mengambil kesempatan kekecewaan rakyat terhadap ketidakupayaan PH menunaikan janji mereka berhubung isu sara hidup dan isu sosioekonomi.

"Beliau merupakan ahli politik bijak yang mampu memanfaatkan populariti yang diraihkan menerusi media sosial,” kata Khoo.