Pakatan Harapan di ingatkan agar lebih fokus untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PR...

Pakatan Harapan wajib menang di Semenyih bagi mengukuhkan kerajaan.


Pakatan Harapan di ingatkan agar lebih fokus untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan 2 Mac depan.

Itu gesaan dari Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sewaktu menjawab soalan wartawan tentang perbincangan di media tentang parti yang paling sesuai untuk mewakili Harapan dalam PRK itu nanti.

"Secara asasnya kita harus memegang prinsip muafakat di dalam Harapan dan itu yang saya sampaikan daripada awal. Walaupun ada permintaan dan sebagainya apa pun kita kena kembalikan kepada Majlis Presiden.

"Bila mereka telah membuat keputusan untuk menyerahkan meneruskan legasi Semenyih kepada Bersatu, kita akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

"Kerana apa pun siapa pun yang bertanding pastinya ia adalah wakil kepada Harapan,” katanya.

PRK Semenyih ditetapkan pada 2 Mac depan manakala penamaan calon pula pada 16 Februari ini. PRK berkenaan diadakan susulan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Ia juga bakal berlangsung selepas Harapan diuji dengan kekalahan dalam PRK Cameron Highlands baru-baru ini.