Penjawat awam harus berpegang kepada prinsip taat setia terhadap kerajaan yang memerintah (government of the day), sekali gus membolehkan...

Penjawat awam jawab di akhirat jika sokong pemimpin buat salah


Penjawat awam harus berpegang kepada prinsip taat setia terhadap kerajaan yang memerintah (government of the day), sekali gus membolehkan rakyat terus mendapat manfaat sewajarnya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata prinsip terbabit satu kewajipan kepada seorang penjawat awam dalam usaha melaksanakan segala dasar, program dan projek Kerajaan, yang menuntut sikap adil lagi telus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Kita perlu menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini bahawa Kerajaan sedia ada perlu mendapat kesetiaan dan ketaatan daripada penjawat awam. Sekiranya ada penyelewengan, maka yang lebih utama adalah negara, bukan orang, parti atau ideologi tertentu,” katanya.

Mukhriz berkata, penjawat awam perlu melaksanakan tugas demi kesejahteraan rakyat, negeri dan negara.

Beliau berkata, jika menjadi saksi kepada kelemahan, kealpaan, salah guna kuasa dan penyelewengan, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua untuk mengubahnya.

"Ini penting sebab apa juga kesilapan dalam kepemimpinan adalah menjadi tanggungjawab untuk kita menjawabnya kelak terutama di akhirat.

Beliau juga berkata, sudah menjadi tanggungjawab semua pihak secara bersama untuk memacu agenda Kerajaan dengan penuh dedikasi berteraskan kepada nilai dan etika penjawat awam supaya perkhidmatan awam sentiasa relevan dan boleh dipercayai.

"Apabila dalam tangan sudah ada kuasa dan digunakan dengan baik, maka baiklah kesannya, begitu juga sebaliknya. Bukan mudah menjadi penjawat awam kerana bagi setiap jawatan dibuka, pastinya ratusan permohonan. Apabila kita sudah dapat satu rezeki besar berpeluang berkhidmat kepada rakyat, lakukanlah dengan ikhlas.

"Laksanakanlah amanah dengan penuh dedikasi. Bagi yang berkeluarga, berilah perhatian sebaik mungkin kerana jika ada masalah dalam keluarga, ia akan terbawa-bawa ke tempat kerja hingga menjejaskan kualiti dan integriti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah di Kompleks Persekutuan, Anak Bukit di sini, hari ini. 

"Perubahan yang dilakukan rakyat juga perlu berlaku dalam perkhidmatan awam kerana rakyat mahukan yang terbaik dalam kehidupan seharian mereka dan masa depan, ” katanya.