Rakyat Malaysia di Brunei diseru agar menyumbang kepada pembangunan negara untuk memulihkan segala masalah kronik yang ditinggalkan oleh ...

Rakyat di Brunei wajib bantu Kerajaan PH pulihkan negara yang dirosakkan oleh Umno-BN


Rakyat Malaysia di Brunei diseru agar menyumbang kepada pembangunan negara untuk memulihkan segala masalah kronik yang ditinggalkan oleh rejim UMNO-BN.

Itu gesaan dari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Bandar Seri Begawan semalam.

Menurut beliau, sumbangan dari rakyat Malaysia itu akan membantu Pakatan Harapan memulihkan masalah peninggalan rejim Umno-BN.

"Sekarang masa untuk kita sama-sama membina negara dan kerajaan ada hala tuju jelas ke arah itu serta usaha menunaikan manifesto Pakatan Harapan yang dibuat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"Pada masa sama, kerajaan sedar dengan kritikan diterima terutama dalam menunaikan manifesto tersebut yang dibuat ketika itu tanpa mengetahui masalah hutang ditanggung negara," katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat optimis masa depan negara mampu diperbaiki dengan sumbangan mereka.

"Ini bukan bererti kerajaan mahu menarik mereka balik, tetapi hanya dari segi idea, syor dan teguran. Kita menerima secara terbuka," katanya lapor Bernama.

Majlis yang dihadiri Dr Wan Azizah itu dihadiri kira-kira 450 rakyat Malaysia di Brunei terdiri daripada kumpulan profesional, pemain industri dan pelajar.