Tidak wajar untuk rakyat menghakimi kerajaan yang baharu sembilan bulan mengambil alih pemerintahan negara hanya kerana kegagalan melak...

Tempoh 9 bulan tak cukup untuk Kerajaan PH tunaikan manifesto..


Tidak wajar untuk rakyat menghakimi kerajaan yang baharu sembilan bulan mengambil alih pemerintahan negara hanya kerana kegagalan melaksanakan semua manifestonya.

Itu keluhan dari Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada rakyat Malaysia yang masih mempertikaikan perlaksanaan manifesto Pakatan Harapan yang dijanjikan pada Pilihanraya Umum ke 14 lalu.

"Sembilan bulan (memerintah) bukan satu tempoh lama, ini bukan hendak memberi alasan tetapi bagi menjelaskan (bahawa) rakyat harus memberi ruang yang munasabah kepada kerajaan PH," katanya ketika berucap pada Malam Kebudayaan Harapan Semenyih di Bandar Rinching di sini, malam tadi.

Menurut beliau lagi, rakyat harus menyedari bahawa manifesto Pakatan Harapan sebenarnya sudah mula ditunaikan secara berperingkat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga menjelaskan bahawa beliau faham bahawa rakyat tidak sabar menunggu dan mahukan segala janji diselesaikan segera, namun beliau meminta rakyat bersabar.

"Kita (kerajaan PH) sudah mula memberi dan menyampaikan segala bentuk bantuan dan pertolongan kepada rakyat yang memerlukan.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berada di sini, berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Pengundian DUN Semenyih akan diadakan Sabtu ini. Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.