Pemansuhan tol yang dicadangkan terhadap Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Al...

Tol percuma kerajaan PH untungkan jutaan rakyat dan turunkan kos sara hidup


Pemansuhan tol yang dicadangkan terhadap Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, ternyata memanfaatkan jutaan rakyat, bukan sekadar pengundi di Semenyih.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, ini kerana usaha terbabit adalah langkah awal PH menunaikan sebahagian janji manifesto PRU14 lalu.

Menurutnya, sepatutnya semua rakyat khususnya pemimpin-pemimpin pembangkang gembira dengan pengumuman itu kerana kerajaan PH sedang berusaha menunaikan janji untuk meringankan beban hidup rakyat.

Akhramsyah yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jerai berkata, kesukaran kerajaan untuk menunaikan janji penghapusan tol pasti menimbulkan rasa kagum terhadap kemampuan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha melunaskan janji secara berperingkat.

Walaupun cadangan penghapusan Tol itu menjadi kritikan dan cemuhan pihak pembangkang, Akhramsyah menyifatkan ianya sebagai sesuatu yang positif kerana ia memberi ruang untuk rakyat mendengar penjelasan kerajaan.

"Saya berterima kasih kepada pembangkang terutamanya Najib kerana beri peluang kepada PH perjelaskan dengan lebih baik isu tol, selain bukti kita tunaikan janji bagi menurunkan kos sara hidup rakyat dengan mansuhkan tol secara berperingkat,” katanya.

Kerajaan sebelum ini bercadang untuk menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada, diganti dengan caj kesesakan kepada pengguna dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Manakala kadar tol dihapuskan pada waktu tidak sibuk (off-peak) antara 11.00 malam hingga 5.00 pagi.