Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak masuk ke negeri ini. Mohd Sha...

Warisan tolak kemasukan PPBM ke Sabah


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak masuk ke negeri ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), berkata ia kerana perkara itu mendapat kata sepakat pucuk pimpinan tertinggi kedua-dua parti, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU.

"Sebelum ini, kita (WARISAN) ada perjanjian bekerjasama dengan BERSATU dan berharap ia dapat dikekalkan. WARISAN dan BERSATU ibarat adik-beradik dan kita sudah berpakat,” katanya.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata walaupun BERSATU parti Melayu dan Bumiputera, kerajaan negeri diterajui WARISAN turut mendapat sokongan majoriti rakyat pada pilihan raya lalu.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad belum membuat keputusan untuk melebarkan sayap ke Sabah.

Menurut Dr Mahathir yang juga perdana menteri, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi terlebih dahulu.

"Kita buat keputusan dalam mesyuarat. Kita adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dulu (sebelum membuat apa-apa keputusan melebarkan sayap ke Sabah)," katanya beliau.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman, Hajiji Noor bahawa Bersatu akan melebarkan sayapnya ke Sabah tidak lama lagi.