Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali menganggap beliau t...

Aiman anggap tiada rezeki untuk jadi wakil rakyat Semenyih


Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali menganggap beliau tak ada rezeki untuk menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Muhammad Aiman tetap juga mahu meneruskan perancangan dan usaha yang tidak dapat dilaksanakan bekas ADUN Semenyih yang juga bapa mentuanya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

"Mungkin tiada rezeki (untuk menang) dan saya akan melihat bagaimana perancangan arwah dapat dilaksanakan, yang penting segalanya untuk rakyat Semenyih dan parti,” katanya.

Muhammad Aiman yang kelihatan tenang, turut memberi jaminan akan berusaha melaksanakan beberapa janji disuarakan ketika berkempen, antaranya merealisasikan pembinaan Hospital Semenyih untuk rakyat di kawasan itu.

"Kepada pengundi DUN Semenyih, terima kasih. Insya-Allah, saya akan teruskan kerja membantu rakyat. Saya akan teruskan, Insya-Allah.

"Saya akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan (Hospital Semenyih). Menang atau kalah, saya tetap akan berusaha membuat yang terbaik bagi rakyat Semenyih,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di Semenyih.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan memberi pertimbangan mendalam terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang kempen PRK berkenaan.

"Saya kira kita ambil iktibar apa yang hendak dibetulkan dalam mana-mana pilihan raya kecil atau besar.

"Kita telah cuba sedaya upaya tetapi kalau rakyat telah buat pilihan, ada mesej yang perlu kita terima," katanya.

Dalam PRK tersebut, calon BN, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 apabila memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan Kuan Chee Heng (725 undi).