Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak kenyataan bahawa gabungan Umno dan Pas boleh...

Gabungan Umno-Pas hanya boleh menang di Prk tapi 'tak akan laku' di PRU


Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak kenyataan bahawa gabungan Umno dan Pas boleh menggugat PH pada masa akan datang.

Ketika bercakap kepada media di Putrajaya hari ini, beliau berkata gabungan itu hanya boleh “berfungsi” dalam PRK sahaja tetapi tidak pada Pilihanraya umum akan datang.

"Ya, mereka boleh bekerjasama dalam PRK kerana menang atau kalah tak penting.

"Tetapi jika pilihan raya umum, mereka tidak boleh bekerjasama. Jika mereka berbuat demikian pun, PAS tidak akan mendapat apa-apa,” tegas beliau.

Dalam masa yang sama, Tun Mahathir mengakui bahawa kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas adalah berbeza dengan situasi semalam kerana pilihan raya tersebut menyaksikan undi PAS dan BN berpecah kerana tidak mempunyai kerjasama yang utuh.

"Sebab itu mereka tak boleh capai undi yang banyak dan kita (PH) menang,” ujar beliau.

Walaubagaimanapun, Tun Mahathir menyifatkan gabungan kedua-dua parti itu membawa pemikiran negatif sehingga mewujudkan provokasi dalam masyarakat.

"Mereka ada pemikiran yang negatif sehingga menimbulkan kemarahan orang,” katanya.

Dengan memberikan contoh kes penghinaan karikatur Nabi Muhammad di media sosial baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, beliau tidak faham bagaimana provokasi yang dibawa dengan menggunakan kes tersebut dapat menambah baik negara.

"Kita tidak mahu lakukan (provokasi) seperti itu hanya kerana mahu rakyat marah,” tegas beliau.

Keputusan Pilihanraya kecil Dun Semenyih semalam menyaksikan calon BN Zakaria Hanafi, meraih 19,780 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali, yang mendapat 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon Bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).