Masyarakat diminta memahami mesej yang ingin disampaikan menerusi deklarasi himpunan Solidariti Kedamaian yang diadakan semalam di ibu ne...

Jumlah kehadiran di Himpunan Solidariti Kedamaian tak penting..


Masyarakat diminta memahami mesej yang ingin disampaikan menerusi deklarasi himpunan Solidariti Kedamaian yang diadakan semalam di ibu negara, berbanding hanya melihat kepada jumlah kehadiran peserta himpunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, program yang didakwa kurang mendapat sambutan susulan jumlah kehadiran tidak seperti himpunan-himpunan lain adalah terlalu subjektif.

Beliau sebaliknya berkata, berpuas hati dengan jumlah kehadiran peserta ke program tersebut memandangkan ia dirancang dalam masa singkat.

"Soal ramai atau tidak ia subjektif, ambil gambar dari atas dan tunjukkan himpunan ramai atau tidak, kenapa orang tidak melihat mesej yang mahu disampaikan, itu yang patut dibincangkan bukan jumlah kehadiran,” katanya menerusi portal Sinar Harian.

Menurutnya, tidak wajar mana-mana pihak cuba memanipulasi isu terbabit berbanding memahami mesej deklarasi yang akan dihebahkan ke seluruh negeri.

"Dalam media sosial, program kita disiarkan secara langsung dan saya sempat tengok ratusan ribu orang menonton menerusi Facebook.

"Dalam masa singkat, kita berjaya kumpulkan wakil pelbagai kaum, inilah mesej Islam, iaitu kedamaian,” katanya.

Mujahid berkata, pihaknya yakin mesej deklarasi kedamaian itu akan diterima dengan baik oleh semua pihak, termasuk bukan Islam.

"Kita akan turun ke akar umbi dan perjelaskan kepada rakyat, yang penting deklarasi itu beri kita kekuatan,” katanya.