Keikhlasan kerjasama Umno-PAS yang dikatakan bertujuan untuk penyatuan ummah, terus diragui oleh pelbagai pihak di negara ini. Terbaru,...

Kenapa yang mungkar seperti Umno jadi pilihan PAS?


Keikhlasan kerjasama Umno-PAS yang dikatakan bertujuan untuk penyatuan ummah, terus diragui oleh pelbagai pihak di negara ini.

Terbaru, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut mempertikaikan jalinan kerjasama politik diantara kedua-dua parti melayu terbesar itu.

Menteri Besar Kedah itu menjelaskan, Bersatu pernah menghulurkan “tangan persahabatan” kepada PAS juga atas niat sama namun ditolak.

"Tetapi sekarang pihak yang mungkar (Umno) itu menjadi pilihan mereka untuk bergabung,” katanya kepada di Alor Setar.

Mukhriz juga mempersoalkan mengenai halatuju kerjasama tersebut yang dilihat hanya demi kepentingan politik parti masing-masing yang pastinya tidak sihat bagi landskap politik negara.

Bekas pemimpin Umno itu turut menjangkakan kerjasama antara Umno-PAS tidak dapat bertahan lama kerana dibina atas dasar yang tidak kukuh, selain PAS juga sebelum ini pernah memungkiri janji yang dibuatnya.

"Saya dulu diberi mandat mengepalai Bersatu untuk berunding dengan PAS yang ketika itu diketuai Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man dan selepas lima, enam kali rundingan akhirnya persepakatan dicapai.

"Namun selepas perbincangan dibuat secara teliti dan perjanjian telah ditandatangani pada waktu petang, pada sebelah malam perjanjian tersebut ditarik balik, jadi mengikut pengalaman peribadi saya PAS ini boleh berjanji tapi tidak mampu tunaikan,” katanya.