Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyedari bahawa golongan pengundi muda di negara ini lebih bijak menilai pre...

Kerajaan PH tak akan abaikan golongan pengundi muda.. - Syed Saddiq


Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyedari bahawa golongan pengundi muda di negara ini lebih bijak menilai prestasi sesebuah kerajaan, dan tidak terlampau taksub dengan mana-mana parti politik.

Oleh kerana itu, beliau berharap kerajaan Pakatan Harapan juga tidak memandang remeh terhadap golongan berkenaan disamping mengutamakan pandangan yang diutarakan oleh mereka.

Jelas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, beliau sudah berkali-kali menyampaikan suara anak-anak muda kepada pimpinan kanan kerajaan, serta perlunya mengambil serius segala pandangan golongan itu.

"Benda yang paling mustahak sekali adalah kerajaan ini perlu ambil pandangan anak muda secara serius. Kita tak boleh menganaktirikan pandangan mereka kerana kita perlu ingat, dan bermuhasabah, bahawa anak mudalah yang telahpun mencetuskan gelombang politik dan buat pertama kalinya membawa kerajaan Harapan untuk mentadbir.

"Dalam hal ini memang banyak kali saya bincangkan, sebelum ini ada three-way discussion dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) untuk membincangkan berapa perancangan besar bagi anak muda, selain rangka perbincangan sebab kita nak ada tawaran pelan yang komprehensif bagi golongan ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Awani.

Menjelaskan lebih lanjut, Syed Saddiq berkata, tawaran itu akan disasarkan kepada semua golongan muda, termasuk belia berisiko, belia Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), mahasiswa di peringkat universiti, graduan dan lain lain.

"Tapi yang bagusnya kita kena ambil isu ini dengan sangat serius, tak boleh pandang remeh, kerana anak muda tak taksub kepada mana-mana parti politik.

"Mereka bijak menilai dan dia lihat kepada prestasi dan dasar yang kita ketengahkan dan saya akan pastikan bahawa kita bekerja untuk mereka dengan jauh lebih keras,” kata Ahli Parlimen Muar itu lagi.