Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke menyifatkan Najib sebagai "munafik" kerana peruntukan untu...

Mahasiswa UM gelar Najib sebagai 'Munafik'


Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke menyifatkan Najib sebagai "munafik" kerana peruntukan untuk universiti itu sebenarnya dikurangkan di bawah kerajaan BN sebelum ini.

Namun katanya, Najib kini menyatakan rasa 'sedih' tentang nasib pelajar universiti berkenaan yang kelaparan.

"Ada perbincangan mengenai pelajar universiti yang kelaparan dan Najib kata dia sedih. Kami ingin mengatakan kepadanya bahawa dia seorang munafik, kenapa tidak kamu menyatakan kesedihan kamu apabila peruntukan untuk UM dikurangkan ketika kamu berkuasa?

"Juga, apabila pelajar-pelajar mencadangkan untuk menubuhkan bank makanan, dia adalah orang yang tidak mengendahkan permintaan pelajar.

"Ya, kamu (Najib) mempunyai hak kamu untuk mengkritik Pakatan Harapan, tetapi kami ingin beritahu kamu bahawa kamu begitu munafik dan berpura-pura," kata Wong menerusi portal MalaysiaKini.

Sebelum itu, Wong menegaskan bahawa beliau dan rakan-rakannya tidak berniat untuk memprovokasi mana-mana pihak seperti yang didakwa oleh netizen yang menyokong Najib di media sosial.

Wong menjelaskan mereka hanya memegang plakad untuk "membantah secara senyap" dan tidak ada tindakan provokasi dilakukan oleh ahli Umany yang diserang petang semalam.

Wong mengkritik kelakuan ganas penyokong Najib yang mencemarkan hak asasi manusia kerana menghalang kebebasan mereka untuk bersuara.

Dia mendakwa semasa kekecohan itu, plakad gambar badut menyerupai Najib telah dirampas dan dikoyakkan, manakala dia dicekik dan mukanya ditampar.

Dia juga mendakwa rambutnya ditarik oleh seseorang dan bibirnya cedera.