Menteri Hal Ehwal Islam  Mujahid Yusof Rawa, menzahirkan rasa terkejut kerana perarakan sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur hari ini dig...

Mujahid terkejut ada perarakan sokong LGBT di Malaysia


Menteri Hal Ehwal Islam  Mujahid Yusof Rawa, menzahirkan rasa terkejut kerana perarakan sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur hari ini digunakan untuk mempertahankan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya, ini merupakan salah guna ruang demokrasi.

"Saya amat terkejut dengan tindakan segelintir pihak pada hari ini yang menyalahgunakan ruang demokrasi untuk mempertahankan perkara yang salah disisi agama Islam.

"Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, kerajaan amat tegas bahawa amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini. Mana mungkin, kita mengiktiraf suatu perbuatan yang salah disisi undang-undang," katanya melalui satu status di Facebook milik beliau.

Awal pagi tadi  lebih 300 orang berhimpun di ibu kota Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wanita hari ini, termasuklah komuniti LGBT dan penyokongnya. 

Himpunan itu dikatakan memberi fokus pada lima tuntutan, iaitu menggesa supaya keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual dihentikan; melarang semua perkahwinan kanak-kanak; menjamin hak-hak wanita terhadap diri dan kehidupan mereka; memastikan gaji minima RM1,800 dan menghapuskan patriaki (ketuanan lelaki) dalam masyarakat.

Dalam perarakan tersebut jelas kedengaran laungan, "jangan kacau LGBT" dan "hidup LGBT" serta ucapan yang dibuat oleh beberapa pemimpin NGO.

Sementara itu, pihak polis memaklumkan penganjur perhimpunan tidak ada permit.

Justeru, Mujahid berkata beliau menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan.

"Berhubung himpunan pada pagi tadi, saya serahkan kepada Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai kuasa perundangan untuk bertindak dan mengambil tindakan tegas," jelasnya.