Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerugian yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) adalah berpunc...

Pelaburan BN jadi punca kerugian RM 6 billion Khazanah, bukannya salah PH


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerugian yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) adalah berpunca daripada pelaburan kerajaan terdahulu, sebelum pentadbiran negara diambil alih Pakatan Harapan (PH).

Kerugian paling besar dicatatkan dalam Malaysia Airlines, dengan penyata keuntungan dan kerugian lebih RM3 bilion ekoran strategi dilaksanakan gagal membaik pulih syarikat itu.

"Walaupun benar Khazanah melaporkan kerugian RM6 bilion dan meningkat kepada RM7 bilion ekoran pengurangan nilai aset, namun ia berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang dibuat sebelum PH mengambil alih kerajaan,” tulisnya melalui Twitter, semalam.

Mohamed Azmin turut membidas Datuk Seri Najib Razak yang dilaporkan berkata, Khazanah tidak pernah mengalami kerugian dalam tempoh sepuluh tahun dirinya menjadi Perdana Menteri.

"Jika tahu sedikit, janganlah berlagak seperti bijak pandai (a little knowledge being dangerous). Masalahnya bagi sesetengah ahli politik hari ini, menteri yang gagal dahulu, mereka hanya akan bercakap dahulu, periksa (fakta) kemudian.

"Akhirnya meludah ke langit, terkena muka sendiri,” katanya. Pada masa sama, beliau optimis Khazanah akan menjana keuntungan semula tahun ini, melalui pengurangan pelaburan yang dibuat sejak beberapa tahun lalu.

"Ketepikan polemik rugi ini kerana pada dasarnya, kerugian dialami ekoran kecacatan pelaburan yang dibuat sebelum PH mengambil alih pentadbiran negara, pada 9 Mei tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion, pada 2018 berbanding untung sebelum cukai RM2.896 bilion, pada tahun sebelumnya.

Keuntungan terjejas ekoran penghapusan pelaburan yang sedikit, pengurangan pendapatan dividen dan rosot nilai yang tinggi.