"Kita dah cuba sedaya yang mungkin untuk memberi penerangan dan sebagainya di Semenyih, tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka da...

Prk Semenyih - Rakyat mahu Kerajaan PH jadi lebih baik selepas ini


"Kita dah cuba sedaya yang mungkin untuk memberi penerangan dan sebagainya di Semenyih, tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka dan kita terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.."

Itu ulasan dari Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, selepas PH ditewaskan oleh Barisan Nasional (BN) di Pilihanraya Kecil Dun Semenyih.

Beliau juga menganggap kekalahan itu adalah satu isyarat kepada mereka untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan yang wujud dalam kerajaan PH.

"Selepas ini, di mana-mana bahagian yang kita rasakan ada kesilapan serta kelemahan, itu tentulah kita perlu cuba perbaiki sedaya mungkin.

"Kita anggap ini sebagai satu mesej yang perlu kita hayati sebaik mungkin dan lakukan yang sebaik mungkin selepas ini," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di Semenyih.

Mukhriz juga berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci untuk mengenal pasti kelemahan, namun beberapa isu sudah dikenal pasti sambil menyifatkan bahawa kalah dan menang adalah kelaziman bagi mana-mana pilihan raya dan PH perlu menerima hakikat tewas pada PRK kali ini.

"Selepas ini mungkin ada beberapa lagi PRK, mungkin ada kawasan BERSATU bertanding, saya tak tahu.

"Namun, kita kena ambil kira isu berbangkit yang berkait dengan kawasan dan negeri kita, dalam apa juga keputusan yang dibuat," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih, selepas memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).