Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Da­lam Per­khid­matan Awam (CUE­PACS), Datuk Azih Muda berkata, penjawat awam perlu taat dan se...

Semua penjawat awam wajib taat setia kepada kerajaan, bukannya parti politik


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Da­lam Per­khid­matan Awam (CUE­PACS), Datuk Azih Muda berkata, penjawat awam perlu taat dan setia kepada kerajaan yang mentadbir dan tidak bertindak dengan berkiblatkan parti politik.

Penjawat awam di negara ini juga dinasihatkan supaya tidak mencampuradukkan fahaman politik dengan tugas yang dijalankan supaya tiada lagi wujud unsur-unsur sabotaj sehingga boleh menyukarkan urusan kerajaan.

"CUEPACS bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) kerana sebagai seorang penjawat awam, kita jangan sesekali sabotaj kerajaan. Ini perlu dipegang kuat oleh semua penjawat awam.

"Taat setia (penjawat awam) kepada kerajaan, raja dan negara. Jadi, jangan campur adukkan dengan fahaman politik sehingga segala maklumat kerajaan, rahsia kerajaan dan urusan kerajaan dicampuradukkan dengan politik,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan.

Sebelum ini, Wan Azizah mengingatkan penjawat awam yang berbeza pendirian politik dan mewarisi sokongan kerajaan lama supaya tidak melakukan sebarang unsur-unsur sabotaj.

Mengulas lanjut, Azih berkata, penjawat awam perlu taat kepada kerajaan supaya kerajaan boleh menjalankan urus tadbir negara dengan baik.

Beliau malah menegaskan, beliau percaya bahawa penjawat-penjawat awam di negara ini cukup matang untuk membezakan keutamaan mereka dan bertindak untuk kebaikan negara.

"Kalau tidak mampu (taat kepada kerajaan), kita tidaklah mahu sampai ke tahap menunjukkan jalan keluar (tamatkan tugas). Kalau sampai ke tahap itu, baru dia tahu susah. Saya percaya penjawat awam ini cukup matang,” katanya.