Walaupun menerima banyak kecaman dan dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil ringan dan bersikap lunak terhadap isu penghi...

Siapa kata Kerajaan PH lambat tangani isu Hina Nabi? - Menteri Agama


Walaupun menerima banyak kecaman dan dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil ringan dan bersikap lunak terhadap isu penghinaan terhadap Nabi dan Islam didalam negara, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tetap tegas menafikan semua andaian tersebut.

Menurut beliau, kerajaan sedia ada lebih gemar menangani isu hina Nabi Muhammad SAW menerusi tindakan berbanding kata-kata politik seperti diamalkan kerajaan terdahulu.

Tegas beliau, PH berbeza dari segi tindakan apabila dua individu dikenal pasti menghina Rasulullah sebelum ini diambil tindakan mahkamah tidak sampai sebulan berikutan mempunyai kuasa.

"Dalam isu tindakan kerajaan terhadap individu menghina Nabi Muhammad SAW, biarlah fakta bercakap dan bukan saya yang menjawab. Kerajaan sedia tiada berbeza pandangan dengan pihak lain dalam isu membantah tindakan individu menghina nabi.

"Berbeza dengan kerajaan dahulu. Setahu saya, dalam kerajaan terdahulu ada individu bertindak menghina nabi dan agama Islam pada tahun 2014 namun tindakan mahkamah hanya diambil pada tahun 2016," katanya.

Menjawab tohmahan segelintir pihak mendakwa kerajaan PH bertindak melepaskan salah seorang individu menghina nabi dengan jaminan, Mujahid menegaskan tertuduh diberi hak untuk pembelaan dan jaminan terhadap kes didakwa mengikut 'rule of law' negara ini.

Menurutnya, negara ini bukan negara Taliban di mana hukuman boleh dijatuhkan ke atas tertuduh tanpa diberi hak pembelaan dan jaminan.

"Sehubungan itu, saya menegaskan berita tular mendakwa Peguam Negara mempengaruhi pihak pendakwaraya membebaskan individu menghina nabi berkenaan dengan jaminan serta mengeluarkan satu kenyataan kontroversi baru-baru ini adalah tidak benar dan berniat jahat.

"Saya ingin menyatakan ada pihak mengambil kesempatan dalam isu ini dan sekiranya tujuan mereka hanya semata-mata menuduh kerajaan PH tidak ambil berat terhadap kedaulatan agama Islam, saya berasa sangat kesal," katanya.

Dalam pada itu, Mujahid mendedahkan inisiatif kerajaan membuat pemerkasaan terhadap perkara boleh menimbulkan kebencian terhadap agama akan dilaksanakan melalui pindaan rang undang-undang di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Inisiatif pindaan rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen dalam masa terdekat.

"Draf pindaan itu akan turut mengambil kira konsultasi orang awam selain anggota kabinet dan persidangan parlimen," katanya seperti yang dilaporkan oleh portal Sinar Harian.