"Dengan kekuatan, ketekunan, dan komitmen untuk berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah sep...

Tak mustahil Kerajaan PH akan tarik sokongan majoriti pengundi melayu di PRU15.


"Dengan kekuatan, ketekunan, dan komitmen untuk berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah sepanjang proses pembinaan sebuah Malaysia Baharu, tidak ada sebab mengapa Pakatan Harapan tidak mampu mendapat sokongan yang lebih besar daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, termasuk meningkatkan lagi sokongan pengundi Melayu ke tahap majoriti."

Itu kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam satu kenyataan media menerusi portal Roketkini mengenai isu kerjasama UMNO dan Pas yang didakwa akan menggugat keutuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Kit Siang lagi, PH harus menentang serangan terbaru pembangkang itu dengan 'senjata' yang mereka gunakan sewaktu memenangi Pilihanraya Umum ke 14 lalu.

"Pakatan Harapan perlu menggunakan formula yang telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi melawan serangan terbaharu UMNO-PAS yang memainkan politik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan.

"Jika Pakatan Harapan dapat menewaskan politik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan yang dimainkan Barisan Nasional dan PAS, tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh sekali lagi digunakan untuk menyerang balas kempen pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan yang dibawa UMNO-PAS," tegas beliau.

Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri itu turut menempelak UMNO yang dikatakan hanya tahu menggunakan kempen kebencian serta ketakutan untuk meraih sokongan pengundi khususnya pengundi-pengundi melayu.

"Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, UMNO mendabik dada bahawa mereka akan memperolehi kemenangan ekoran yakin dengan kempen pembohongan, berita palsu, kebencian dan ketakutan yang dimainkan mereka.

"Namun pembohongan, fitnah dan berita palsu ini tidak mampu menahan kemaraan Pakatan Harapan dalam meraih sokongan satu pertiga pengundi Melayu bagi menumbangkan Barisan Nasional dan membetulkan semula 60 tahun dasar pembinaan negara," ujarnya.

Selain itu, veteran DAP berkenaan juga yakin kerajaan PH akan mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara baru yang bebas dari rasuah serta berintegriti sepertimana didalam manifesto mereka terdahulu.

"Harapan untuk melihat sebuah Malaysia Baharu seperti yang termaktub dalam manifesto pilihan raya adalah kunci yang telah membawa Pakatan Harapan ke Putrajaya, bagi mentrasformasi Malaysia daripada negara kleptokrasi global kepada negara yang berintegriti," tambah beliau.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar tetap kekal percaya dan memberi ruang kepada Kerajaan PH untuk membina semula negara ini dari kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Kit Siang turut yakin bahawa Malaysia Baru akan lebih gemilang serta mendapat sokongan rakyat didalam tempoh empat tahun mendatang.

"Sepanjang 10 bulan lalu, rakyat Malaysia sudah mula tertanya-tanya sama ada mereka telah meletakkan harapan palsu kepada Pakatan Harapan dalam membina sebuah Malaysia Baharu yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, malah semua masyarakat dan kumpulan di Malaysia.

"Jika dalam tempoh empat tahun akan datang, Pakatan Harapan menggunakan formula yang telah membawa kemenangan bersejarah dan keputusan 9 Mei 2018 bagi membina sebuah Malaysia Baharu dan tidak terkeluar daripada landasannya akibat daripada serangan bertali arus dalam bentuk pembohongan tidak berasas, kebencian dan ketakutan yang dimainkan UMNO dan PAS, sokongan popular untuk Malaysia Baharu akan meningkat," kata Kit Siang lagi.