Dalam satu petikan dari portal Berita Harian, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berasa hairan dengan peningkatan kos ba...

Tun M hairan harga barang tak turun walaupun GST sudah dimansuhkan


Dalam satu petikan dari portal Berita Harian, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berasa hairan dengan peningkatan kos barangan keperluan didalam negara ketika ini.

Walaupun GST sudah dihapuskan, kos barangan terus meningkat, misalnya sayur dari Cameron Highlands yang berharga 50 sen sekilogram boleh menjadi RM7 sekilogram apabila sampai di tempat penjualan.


Dr Mahathir berkata walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah dihapuskan, namun kenaikan harga barang masih lagi berlaku berikutan tindakan ‘orang tengah’ yang sesuka hati menaikkan harga.

Susulan itu, katanya kementerian berkenaan kini sedang meneliti usaha-usaha yang boleh dilakukan dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Sehubungan dengan itu juga, kerajaan sedang merangka jalan untuk menghentikan monopoli pihak tertentu dalam barangan keperluan harian, seperti beras contohnya, dalam usaha menangani isu kos sara hidup yang membebankan rakyat, kata Perdana Menteri.

Namun, jelasnya lagi, perkara itu harus dilakukan dengan berhati-hati kerana, sekiranya tidak dilakukan dengan betul, ia dikhuatiri akan meningkatkan persaingan yang hebat, dan akhirnya menjurus kepada masalah bekalan tidak mencukupi.

"Jadi kita ingin hentikan monopoli... tetapi untuk kita gantikan monopoli ini, kita tidak boleh hadkan kepada jumlah pengimport yang sedikit saja. Banyak, terlalu banyak. Tapi ada orang yang cekap dan mempunyai kewangan yang cukup mereka boleh tender untuk membekalkan kita dengan beras umpamanya.

"Kita perlu berhati-hati, kerana kadang-kadang apabila persaingan yang hebat berlaku antara mereka yang mendapat kontrak dan sebagainya, maka ini membawa kita kepada bekalan yang tidak mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap agar langkah kerajaan menghentikan monopoli pihak-pihak tertentu itu akan memberikan kesan positif kepada kos sara hidup rakyat

Namun, beliau juga berharap agar rakyat dapat membantu kerajaan dengan melaporkan sebarang kenaikan harga tidak terkawal barangan keperluan harian, seandainya pemberhentian monopoli itu dilaksanakan kelak.