Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO agar berhati-hati dengan janji-janji Pas k...

UMNO jangan terlalu mudah percaya pada PAS..


Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO agar berhati-hati dengan janji-janji Pas khususnya didalam penggunaan satu logo didalam pilihanraya umum ke 15 nanti.

Menurut beliau, apa yang dinyatakan oleh Pas itu belum tentu sah dan betul.

"Masa masih panjang dan selamat maju jaya, cuma peringatan ingin diberikan kepada UMNO untuk berhati hati. Dia (Pas) dengar boleh tapi percaya kena tapis dahulu, Kalau dia bohong, tanya ini bohong yang tak boleh atau patuh syariah,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan.

Saifuddin dalam masa yang sama menjelaskan, gabungan antara UMNO dan Pas tidak sedikit pun mencemaskan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan datang.

"Saya tidak beranggapan gabungan UMNO dan Pas akan mencemaskan PH, kerana suasana dan keputusan PRU dengan PRK tidak sama dan berubah-ubah.

Kami sudah lalui pengalaman ini selama lebih 20 tahun. “Sebagai contoh saya menang pada November 2000 dalam PRK Lunas dengan majoriti lebih 500, sebelum itu pada November 1999, Barisan Alternatif kalah dengan majoriti lebih 7,000. Tetapi pada PRU 2004, kalah dah lingkup semua.

"Mood’ PRU dengan PRK tidak sama, ia berubah,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melalui satu rakaman video, tidak menolak kemungkinan UMNO dan Pas akan menggunakan satu logo.

Beliau menjelaskan bahawa perkara itu akan dibincangkan pada Selasa ini oleh jawatankuasa perunding antara Pas dan UMNO.

Takiyuddin juga menjelaskan pihaknya sudah pun menulis surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa perunding antara kedua dua parti berkenaan.