Mahkamah Pilihan Raya Melaka menetapkan keputusan untuk Petisyen Pilihan Raya Parlimen Jasin dijadual pada 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi ...

Adakah Pilihanraya Kecil Parlimen Jasin pula bakal menyusul?


Mahkamah Pilihan Raya Melaka menetapkan keputusan untuk Petisyen Pilihan Raya Parlimen Jasin dijadual pada 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Muniandy Vestanathan, yang mewakili calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi kerusi itu Khairuddin Abu Hassan, berkata perbicaraan bagi petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya di Melaka, tamat semalam.

"Seramai 44 saksi dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Sekarang hanya tunggu untuk penyerahan dan keputusan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 6 Mac lepas Mahkamah Pilihan Raya di Melaka menolak bantahan awal anggota parlimen Jasin Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Khairuddin selaku pempetisyen, sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 11 Mac lepas.

Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya responden ketiga.

Pada Pilihanraya Umum ke 14 lalu, Datuk Seri Ahmad Hamzah menang tipis apabila menerima 26'560 undi menewaskan Datuk Seri Khairuddin Hassan yang mendapat 26'341 undi. Manakala calon PAS, Ustaz Abdul Halim Shapie pula menerima sebanyak 8860 undi.