Harga barang keperluan didapati menurun kira-kira 25 peratus selepas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaksanakan ...

Harga barang keperluan di Perak turun 25% dibawah pentadbiran PH


Harga barang keperluan didapati menurun kira-kira 25 peratus selepas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaksanakan di negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, berkata penurunan harga itu sekali gus menepis dakwaan pembangkang mengatakan harga barangan kekal tinggi.

"Berdasarkan maklumat diberikan peniaga, berbanding Januari sehingga kini, harga barang keperluan seperti ikan kembung, sayur-sayuran menurun hingga 30 peratus.

"Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, ada yang menafikan (harga barang keperluan asas menurun) dan mengatakan masih ada ikan kembung dijual pada harga RM18 sekilogram.

"Ia sebenarnya tidak berlaku, jadi pengurangan harga itu memang fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya ketika mengadakan tinjauan pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa Tahun 2019 di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini, hari ini.

Sivanesan berkata, beliau percaya harga barang keperluan asas boleh turun sehingga 60 peratus jika nilai mata wang negara meningkat seperti dulu.

Beliau juga menjelaskan, ketika ini berlaku kejatuhan nilai ringgit kira-kira 30 peratus yang turut menyumbang kepada kenaikan harga barang keperluan tempatan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan orang ramai mengenai kekurangan bekalan barang keperluan terutama bekalan kelapa bagi menyambut Aidilfitri.