Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan dakwaan bahawa Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen tahun depan sebagai usaha melaga-lagaka...

Rakyat diminta jangan percaya cerita bubar Parlimen tahun depan


Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan dakwaan bahawa Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen tahun depan sebagai usaha melaga-lagakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tiada keperluan untuk membubarkan Parlimen kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berdepan sebarang permasalahan pentadbiran sepanjang setahun ini.

Menurutnya, beliau percaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan apabila sampai tempoh dan Dr. Mahathir pula akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar mengikut perjanjian sebelum ini.

"Bukan ada masalah apa pun sehingga perlu bubar, ini hanya permainan politik pembangkang yang kononnya mendakwa PRU-15 akan diadakan tahun depan bagi mengelak Anwar menjadi Perdana Menteri.

"Sebenarnya, mereka hanya mahu melaga-lagakan Dr. Mahathir dan Anwar dalam isu tersebut,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini malam tadi.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk dalam kalangan kepemimpinan pembangkang menjangkakan PRU-15 akan diadakan pada bila-bila masa dan seawal tahun depan berikutan desakan rakyat.