Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka jika PAS berhasrat untuk menyertai gabungan itu demi penyatuan umat Islam di negara ini, kata Timba...

Perjuangan 60 tahun PAS sia-sia jika kerjasama dengan UMNO


Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka jika PAS berhasrat untuk menyertai gabungan itu demi penyatuan umat Islam di negara ini, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata sebarang tindakan untuk penyatuan ummah adalah satu langkah baik, namun pihak PAS diharap tidak meletakkan pelbagai syarat yang ketat sehingga boleh menyisihkan kaum lain.

"Pihak kami kena sentiasa terbuka, tetapi macam mana pun kena bertoleransi, tak boleh kata nak satukan umat Islam dalam negara ini tetapi pada masa sama nak menyingkirkan dan menyisihkan kaum lain,” kata beliau.

Jumaat lepas, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa PAS untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan UMNO sia-sia.

Beliau dilaporkan berkata jika PAS menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang, boleh menjadi kerajaan sekali lagi.

Sementara itu, Mukhriz berkata Bersatu juga kini lebih menumpukan kepada penglibatan ahli UMNO menyertai PH dalam usaha memperkukuhkan kerajaan sedia ada sekali gus dapat meningkatkan jumlah Ahli Parlimen Melayu Islam di Dewan Rakyat.

"Kita kena tonjolkan kebaikan dan ketepikan perbezaan pendapat, saya ingat itu untuk kebaikan semua,” katanya. - Bernama